PKR mendakwa Parti Warisan Sabah (Warisan) mengkhianati semangat muafakat dalam Warisan Plus selepas mengambil kerusi yang sepatutnya ditandingi PKR.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Sabah, Razeef Rakimin berkata, parti itu sepatutnya bertanding 14 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, namun separuh daripadanya telah diambil.

Tambahnya, Warisan telah mengumumkan untuk bertanding di Pintasan, Petagas, Limbahau, Membakut, Sungai Manila dan Segama manakala kerusi Kemabong diserahkan kepada UPKO.

Sehubungan itu, kerusi yang tinggal untuk PKR ialah Matunggong, Tempasuk, Tamparuli, Inanam, Api-Api, Klias dan Sook.

“Di sini saya ingin mempersoalkan di mana semangat kesatuan yang sering dilaungkan (Presiden Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal apabila dengan jelas melanggar kerusi rakan dalam pakatan?” soalnya dalam satu kenyataan.

Razeef juga melahirkan rasa terkilan apabila rakan-rakan komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu Amanah dan DAP tidak mendapat tempat selayaknya walapun mereka banyak berkorban untuk mendapatkan perhatian Mohd Shafie.

“Antara perkara yang sanggup mereka lakukan adalah menolak calon Perdana Menteri PH sebaliknya menyokong calon lain yang dicadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Mohd Shafie sendiri.

“Bukan itu sahaja, DAP dan Amanah sanggup dengan rendah diri memilih menggunakan logo Warisan sekali gus mengenepikan logo mereka dan PH.

"Tetapi akhirnya, sebagai contoh, Amanah cuma diberikan satu kerusi di DUN Tanjung Keramat, manakala kerusi potensi DAP di DUN Tulid dirampas Warisan,” katanya.

Apa yang penting, ujar Razeef, isu agihan kerusi itu perlu dilakukan secara adil atas semangat muafakat dan kesatuan dalam Warisan Plus.

Ini kerana, katanya, rakyat sedang memerhati dan tidak mustahil berlaku undi protes dalam kalangan penyokong parti-parti Warisan Plus yang melihat Warisan seolah-olah sebuah parti yang tamakkan kerusi.

Semalam, Mohd Shafie mengumumkan Warisan bertanding di 46 kerusi, 12 (UPKO), tujuh (DAP) manakala Amanah satu kerusi.

Lewat petang Khamis pula, Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew mengesahkan PKR bertanding tujuh kerusi pada PRN kali ini.